//NuramirahAz
The Intro
Entries About Stuff





Contact me


  • tabung
  • bantu saya ye ?

  • my best entry
    get this widget here
    My Tagboard
  • URL blog only
  • Click Go once only
  • Don't ever you want to SPAM


  • my Love Followers

    Sudah Bertaubatkah Kita ?
    26 Jan 2013 • comment • Add comment {0}







    Jika dihitung umur kita di dunia ini dengan amalan kebajikan yang kita telah kerjakan maka sudah pastilah amalan kebajikan yang kita pernah kerjakan amatlah sedikit sekali jika dibandingkan dengan dosa-dosa kita. Bagaimanakah rasanya jika kita dihadapkan di hadapan Allah Taala dengan dosa-dosa yang melimpah-ruah? Sedangkan kita diberikan kesempatan yang begitu luas di dunia ini untuk bertaubat dan kembali kepadaNya. Mungkin dengan tulisan ringkas ini akan memberikan peringatan kepada saya dan orang lain untuk sama-sama kita bertaubat di atas segala dosa samada dari dosa kecil ataupun dosa besar.
    Tulisan ringkas ini juga bertujuan untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada para sahabat yang pernah meminta penjelasan dari saya dalam persoalan ini. Semoga kita semua mendapat manfaat. InsyaAllah.

    PENGERTIAN TAUBAT
    Taubat memberi pengertian kembali daripada apa-apa yang tercela di sisi syarak kepada apa-apa yang terpuji di sisinya.

    ANTARA DALIL-DALIL TAUBAT
    Firman Allah yg bermaksud :
    Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung. (Surah an-Nur: ayat 31).
    Firman Allah Taala bermaksud:
    Mohonlah keampunan dari tuhanmu lalu bertaubatlah kepadaNya. (Surah Hud: ayat 52).
    Firman Allah Taala bermaksud:
    Wahai orang-orang beriman bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (yang semurni-murninya). (Surah at-Tahrim: ayat 8).
    Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
    Wahai manusia bertaubatlah kamu kepada Allah dan beristigfarlah kepadaNya sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari seratus kali. (Riwayat Muslim).
    HUKUM DAN SYARAT-SYARAT TAUBAT
    Berkata Imam Nawawi:
    Taubat daripada segala dosa adalah wajib. Sekiranya maksiat tersebut hanya di antara hamba dan Allah Taala iaitu tidak berhubungkait dengan hak-hak anak Adam maka terdapat tiga syarat:
    Meninggalkan maksiat.
    Menyesal dengan perlakuan tersebut.
    Berazam tidak akan mengulanginya lagi untuk selama-lamanya.
    Sekiranya gugur salah satu daripada syarat tadi maka taubat tersebut tidak sah. Jika maksiat itu berkaitan dengan anak Adam maka syaratnya ada empat iaitu tiga yang disebutkan tadi dan keempatnya ialah pelepasan daripada tuan empunya. Jika harta atau sebagainya maka hendaklah dikembalikan kepada tuannya. Jika ia termasuk hak-hak anak Adam tidak kira apa jua seperti had menuduh atau seumpamanya maka hendaklah minta dihalalkan daripadanya. Dia juga wajib bertaubat daripada segala dosa.
    Di antara syarat-syarat lain ialah meninggalkan kawan-kawan yang jahat serta menjauhkan diri daripada orang-orang yang fasik yang boleh menggalakkan seseorang itu melakukan maksiat dan menjauhkan daripada taat. Kemudian bergaullah dengan orang-orang yang baik lagi jujur.
    Firman Allah Taala bermaksud:
    Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan yang kemudian mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga datang ajal kepada seseorang di antara mereka barulah ia mengatakan: Sesungguhnya sekarang saya bertaubat. Dan tidak pula (diterima taubat) orang yang mati sedang mereka dalam kekafiran. Bagi orang itu sudah kami sediakan seksa yang pedih. (Surah an-Nisa: ayat 17 dan 18).
    TAUBAT ORANG AWAM
    Adapun ahli tasawuf bukan sahaja tertumpu kepada taubat daripada maksiat kerana pada pandangan mereka ia adalah taubat orang awam. Bahkan mereka bertaubat lebih dari itu iaitu bertaubat daripada semua perkara yang boleh menyibukkan hati dari mengingati Allah Taala setiap masa.
    Berkata Dzun Nun al-Mishri iaitu seorang sufi yang agung:
    Taubat orang awam adalah daripada segala dosa sementara taubat golongan khawas (gologan khusus yang hampir kepada Allah Taala) adalah dari kelalaian.
    KISAH IKTIBAR
    Kisah ini ada diriwayatkan di dalam sahih Muslim iaitu kisah pembunuh yang membunah seratus orang. Pembunuh itu diberi panduan dan jalan oleh seorang yang paling alim di zamannya bahawa Allah Taala akan menerima taubatnya. Orang alim tadi memberikan syarat kepadanya agar meninggalkan suasana persekitaran yang rosak kerana persekitaran di antara faktor besar yang menyebabkan dia melakukan kejahatan. Kemudian pembunuh itu pergi ke tempat yang di maksudkan. Di sana terdapat orang mukmin yang soleh agar dia mencintai orang-orang yang soleh serta dia dapat diberikan tunjuk ajar dari mereka.
    PINTU TAUBAT MASIH DIBUKA
    Sesungguhnya pintu taubat masih lagi terbuka kepada semua manusia sehinggalah matahari terbit dari arah barat. Maka bersegeralah kita semua untuk bertaubat kepadaNya sebelum terlambat.
    Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
    Sesungguhnya Allah membuka tanganNya pada malam hari supaya orang yang melakukan kejahatan pada siang hari bertaubat dan Dia membuka tanganNya di siang hari supaya yang melakukan kejahatan pada malam hari bertaubat hingga matahari terbit dari barat. (Riwayat Muslim).
    Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
    Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hambaNya daripada gembiranya seorang yang kehilangan bekal bersama untanya di sebuah padang yang tandus kemudian dia mendapatkannya kembali unta itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
    PENUTUP
    Sebagai hambaNya yang amat lemah adalah kita dituntut supaya sentiasa bertaubat di atas segala dosa yang pernah kita kerjakan. Contohilah Rasulullah S.A.W. yang sentiasa bertaubat kepada Allah Taala walaupun baginda seorang yang maksum. Jadi marilah kita memperbanyakkan taubat dengan taubat nasuha agar hati kita sentiasa suci bersih dari sebarang kekotoran dan kejahatan yang boleh menyebabkan hati menjadi lalai dari mengingatiNya.
    ‘Memberi dan Berbakti’